Salam Aidiladha 1430H buat seluruh kaum muslimin dan muslimat dan juga kepada pengunjung setia blog ini. Ikutilah sunnah dalam berkorban, ingatilah para pejuang Islam yang telah banyak berkorban dan ingatilah saudara semuslim kita di Palestin dan Patani yang setiap masa menjadi mangsa korban dan dalam keadaan tidak ketenteraman. Di sini, saya ingin menghimpunkan semula koleksi kisah-kisah ulama yang menunaikan haji dari entri-entri saya terdahulu yang tersimpan di arkib. Moga ada manfaatnya. Sama-sama kita hayati kembali kisah-kisah mereka yang soleh.
Imam Ahmad bin Hanbal dan Syeikh Al-Albani
Imam Ahmad bin Hanbal telah mengerjakan haji sebanyak lima kali, tiga kali dengan berjalan kaki, beliau membelanja pada tiap-tiap kali hanya sebanyak tiga puluh dirham sahaja.
Syeikh Al-Albani pula telah mengerjakan haji lebih dari tiga puluh kali. Beliau selalu melaksanakan umrah dan haji setiap tahun jika mampu. Boleh jadi beliau melaksanakan umrah dalam setahun dua kali. Ibadah hajinya yang terakhir dilakukan pada tahun 1410H.
Syeikh Samir bin Amin az-Zuhairi mengatakan: Berkat kurnia Allah SWT, aku menemani beliau dalam menunaikan hajinya yang terakhir ini.
Di hari Arafah, aku mendatanginya sesudah matahari tergelincir, ketika itu beliau sedang berdoa, lalu aku katakan padanya: "Wahai syeikh kami! Ini adalah puteraku, aku sangat senang jika syeikh mendoakannya." Beliaupun mendoakannya dan aku sangat berharap doa beliau terkabul (semoga Allah SWT merahmatinya dengan rahmat yang luas).
Abdullah bin Mubarak dan Seorang Lelaki
Abdullah bin Mubarak turut mengerjakan haji pada suatu musim haji. Dia telah tertidur di Masjidil Haram lalu bermimpi. Dalam mimpinya itu, telah turun dua malaikat. Mereka mengisahkan bahawa pada tahun itu seramai enam ratus ribu orang telah mengerjakan haji, tetapi tidak seorang pun diterima haji mereka.
Namun ada seorang lelaki yang tidak mengerjakan haji tetapi disebabkan berkatnya, menyebabkan semua orang yang mengerjakan haji itu diterima hajinya. Lelaki itu bernama Muwaffaq, seorang tukang kasut yang tinggal di Damsyik.
Setelah terjaga dari tidurnya, Abdullah lalu pergi ke Damsyik untuk mencari lelaki itu. Setelah bertemu dan memperkenalkan dirinya, Abdullah lalu bertanya apakah amalan yang telah dilakukannya sehingga dia mendapat darjat yang begitu tinggi.
Muwaffaq pun menceritakan bahawa dia telah mengumpulkan wang hasil dari pekerjaannya. Jadi dia berhasrat untuk menunaikan haji. Suatu hari, isterinya yang sedang hanil telah terhidu bau masakan jirannya. Dia teramat ingin untuk merasai masakan tersebut.
Muwaffaq pun pergi ke rumah jirannya dan memberi tahu keinginan isterinya itu. Jirannya dengan sedih memberitahu rahsia yang sebenarnya. Dia bersama anak-anaknya yang yatim sudah tiga hari tidak makan. Jadi dia pun keluar mencari rezeki. Akhirnya dia telah bertemu dengan bangkai himar. Dia lantas mengambil sebahagian dagingnya lalu membawa pulang ke rumah untuk dimasak.
Jelas wanita itu lagi, makanan itu halal bagi mereka tetapi haram buat Muwaffaq. Muwaffaq berasa kasihan mendengar penjelasan jirannya itu. Dia terus pulang ke rumah dan mengambil wang yang dikumpulnya selama ini. Wang itu lalu diberikan kepada jirannya sebagai perbelanjaan buat anak-anaknya yang yatim.
Sebab itulah dia tidak dapat menunaikan haji pada tahun itu. Disebabkan keikhlasan membantu jirannya, Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala haji kepadanya. Muwaffaq menyatakan lagi bahawa sebenarnya hajinya berada di depan pintu rumahnya.
Ahmad Al-Syarisyi, Izin Untuk Naik Haji
Ahmad Al-Syarisyi seorang ulama sufi dari Sepanyol wafat pada tahun 608 Hijrah. Beliau sempat bertemu dengan Ibnu Arabi dan bahkan wafat ketika sedang bersama-sama cendikiawan besar Islam tersebut di Syu'b.
Sejak dalam usia kanak-kanak lagi, Ahmad Al-Syarisyi sudah rajin mengerjakan ibadah. Hal ini terjadi kerana berkat asuhan dan didikan Syeikh Abu Ahmad bin Saidabun yang menjaganya sejak kecil. Ketika berusia sepuluh tahun, Al-Syarisyi telah mengalami hub (mabuk cinta kepada Allah) yang diliputi oleh keadaan rohani yang sangat tinggi sehingga pengsan dan jatuh ke dalam api. Akan tetapi sedikit pun api tersebut tidak mencederakan badannya. Keadaan seperti itu seringkali terjadi pada dirinya.
"Apakah engkau sedar pada saat-saat terjatuh ke dalam api dan pengsan itu?" tanya Ibnu Arabi pada suatu hari.
"Tidak, aku tidak menyedarinya." jawabnya.
Suatu hari Ahmad Al-Syarisyi minta izin kepada ayahnya untuk mengerjakan haji ke tanah suci Makkah, tapi ayahnya agak keberatan.
"Wahai anakku, aku ini ayahmu dan menginginkan agar engkau selalu berada di sampingku. Tapi sekarang engkau akan pergi meninggalkanku. Pergilah." kata ayahnya seperti kecewa.
Al-Syarisyi faham bahawa ayahnya agak sukar untuk melepaskannya, semata-mata kerana tidak ingin berenggang dengan anak kesayangannya.
"Wahai ayahku. Kalau ayah mahu menjawab pertanyaanku dengan berterus terang, aku akan mematuhi segala arahanmu." kata Al-Syarisyi.
"Pertanyaan apa itu?" tanya ayahnya.
"Pada saat ayah berkumpul dengan ibuku, apakah ayah menghendaki kehadiranku ke dunia ini?"
"Tidak wahai anakku. Ayah melakukannya kerana hanya ingin memuaskan nafsu saja." jawab ayahnya.
"Allahu Akbar. Dialah yang menciptakan diriku, Dia jugalah yang memanggilku agar pergi ke rumah suciNya. Jadi, kerana aku sekarang sudah sanggup melakukannya, tidak ada alasan bagiku untuk menangguhkan perjalananku ke sana. Sebab kehadiranku ke dunia ini bukan anugerah yang ayah berikan, melainkan anugerahNya yang menciptakan diriku untuk mengabdi kepadaNya."
Mendengar jawapan itu, menangislah ayah Al-Syarisyi yang juga orang soleh dan banyak beribadah. Maka dia pun merestui anaknya untuk pergi ke tanah suci Makkah dengan tulus ikhlas.