Pendidikan
Dalam menimba pengetahuan ilmu agama, beliau telah mengaji sehingga ke Jambi, Sumatera dan Makkah al-Mukarramah. Selain fasih berbahasa Arab, beliau juga terkenal mahir dalam perundangan Islam, aqidah, perbandingan aqidah dan fiqh.
Menjadi Guru
Setelah tamat pengajian, Haji Said telah memulakan karyanya untuk menabur bakti dalam bidang pendidikan dengan menjadi guru seawal tahun 1947 di sekolah-sekolah Arab di Kelantan. Pada tahun 1954, beliau bertukar mengajar ke Madrasah al-Hidayah di Singapura. Semasa di Singapura, beliau telah dipilih menjadi Yang DiPertua PERGAS (Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura) dari tahun 1963 sehingga tahun 1968. Pada 1968, beliau meninggalkan Singapura untuk berkhidmat di Brunei. Di Brunei, selain mengajar di sekolah menengah Arab, beliau dilantik menjadi penyusun sukatan pelajaran Maktab Perguruan Agama Brunei.
Menjadi Mufti Sabah
Dalam tahun 1971, beliau ke Sabah dan bertugas menjadi Pegawai Agama dan dalam tahun 1972, beliau kembali ke Semenanjung kerana dilantik menjadi Imam Masjid Negara yang disandangnya sehingga tahun 1975. Sebagai seorang yang berpengetahuan luas dalam ilmu-ilmu agama lagi berpengalaman, beliau telah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Sabah untuk dua penggal iaitu 1975 - 1978 dan 1985 - 1989. Antara tahun 1978 sehingga 1985, beliau diberi penghormatan sebagai pakar rujuk di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Berterus-Terang
Sebagai seorang mufti dan pakar rujuk kerajaan, ada ketika pendirian dan pandangannya yang berterus-terang itu menimbulkan polemik dalam kalangan pentadbir dan pemimpin politik dan ada juga yang tidak disenangi. Kadang-kadang kenyataannya yang bersifat politik itu digunakan pula sebagai hujah oleh pihak pembangkang. Said sedar bahawa di pihak kerajaan juga terdapat kesedaran bagi melaksanakan hukum Allah dan kerana itulah beliau berkata benar. Said juga insaf akan kedudukannya sebagai penjawat awam yang terikat dengan pelbagai peraturan.
Pendapat yang dikemukakan oleh Said dalam tulisan-tulisannya terutamanya tentang hukum hudud bukanlah semata-mata bermaksud menyebelahi pembangkang tetapi demi menegakkan kebenaran. Oleh yang demikian pendirian Haji Said ini tidak sepatutnya dilihat sebagai bersikap anti establishment. Pendiriannya yang tidak popular ini lebih didorong oleh sikapnya yang sentiasa berpegang pada kebenaran. Bagi Haji Said, apabila beliau mengkritik kerajaan bukanlah bermakna beliau menentang kerajaan. Tidak ada gunanya jika kita menjadi sokong yang membawa rebah. Memang dalam banyak keadaan kita mesti memilih untuk berubah, jika tidak, kita pasti akan rebah.
Tidak pernah sama sekali kita lihat arwah mengambil jalan tengah semata-mata mahu menyedapkan hati orang tertentu. Beliau menyatakan apa saja kebenaran meskipun pahit untuk ditelan. Demikianlah tegasnya Allahyarham Haji Said Ibrahim dalam menegakkan kebenaran.
Ketegasan Haji Said juga dapat kita lihat dalam beliau menjalani perancangan hidupnya. Setiap kali apabila beliau sudah membuat keputusan, beliau akan menurut apa saja kata hatinya asalkan keputusannya itu diyakininya berada pada landasan syarak. Ketegasannya inilah yang telah menghantarnya jauh hingga ke Makkah meskipun beliau bukanlah datang dari keluarga yang berada.
Demikianlah juga apabila menetapkan hendak ke Singapura dan singgah di Kuala Lipis, beliau mengharunginya dengan yakin dan tabah. Semasa menjadi imam Masjid Negara, beliau pernah memohon cuti untuk mengerjakan haji di Mekah tetapi permohonannya tidak diluluskan atas alasan pentadbiran. Oleh sebab telah memutuskan hendak menunaikan haji sebaik mengetahui permohonannya ditolak dan ini dapat menahan niatnya ke tanah suci, maka, Haji Said terus mengutus surat meletakkan jawatan sebagai imam Masjid Negara. Tidak ada apa yang dapat menghalang niat dan hajatnya kecuali kuasa Allah. Demikianlah ketegasan Said Ibrahim dalam meniti kehidupannya.
Beliau tidak pernah bimbang akan kehilangan pekerjaan kerana Said penuh yakin pintu rezekinya berada pada ketentuan Allah. Tuhan tidak akan melupakan hamba-Nya yang murah hati dengan ilmu. Dengan sedikit sebanyak wang sagu hati yang berikan kepadanya apabila menyampaikan ceramah, wang hasil jualan buku dan honorariumnya menulis di akhbar dan majalah lebih dari cukup untuk beliau menyara hidup lapan orang anaknya dengan serba sederhana.
Sikap kedua yang kental pada Allahyarham Haji Said memang amat langka pada kebanyakan ulama ialah kebolehannya berbahasa Arab dengan fasih, iaitu salah satu bahasa utama di dunia. Beliau juga memiliki pelbagai minat dan kebolehan selain menjadi mufti beliau juga terus menjadi pendakwah bukan sekadar menjalankan kerja pentadbiran di pejabat. Masanya yang cukup padat diisinya juga dengan menulis dan kemudian menjadi editor, melakukan penterjemahan dan juga menjadi penerbit. Jiwanya mendesak Said agar tekun dan rajin menulis tanpa mempedulikan jadual kerjanya yang memang sudah ketat dengan kuliah, ceramah selain urusan pentadbiran di pejabat. Jika terlalu sibuk, Said menulis berdikit-dikit. Sehari sesuku, lama-lama menjadi buku.
Beliau menguasai ilmu mantik dan ilmu logik, ilmu fikah dan tauhid selain bukunya menunjukkan beliau juga memiliki kepakaran dalam ilmu perbankan. Sepanjang hayatnya beliau telah menulis dan menerbitkan lebih dua puluh judul buku dan kitab. Pada hari ini memang boleh dibilang dengan jari seorang ulama yang memiliki kesemua kebolehan ini. Dengan setiap kebolehan inilah yang menjadi ramuan lengkap menghasilkan resipi terbaik yang melengkapkan peribadi Allahyarham Haji Said Ibrahim muncul sebagai seorang ulama terbilang.
Dalam zaman yang serba moden ini, dengan segala kemudahan berkomunikasi dan jalinan pengangkutan yang serba pantas belum tentu setiap orang bersedia meninggalkan kampung halamannya bertahun-tahun untuk menuntut ilmu di tempat yang jauh. Dengan kemudahan penulisan yang serba mudah berbantukan komputer, belum tentu dapat menjadikan semua orang penulis yang prolifik seperti Said Ibrahim.
Karya-karyanya
- Sinaran Fiqh
- Mengenal al-Quran
- Manasik Haji & Umrah
- Qanun Jenayah Syariah
- Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam
- Soal - Jawab Nikah Kahwin
- Fiqh Mazhab Syafi`i & Pendapat Imam-Imam Mazhab
- Perbandingan 'Aqidah & Fahaman Umat Islam
- Minhaj Ilmu Fiqh.
Haji Said terkenal sebagai seorang yang tegas menangani gejala ajaran sesat yang menyalahi pegangan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang sebenar. Karya beliau "Perbandingan Aqidah & Fahaman Umat Islam" dihasilkannya untuk menjelaskan perbezaan firqah-firqah yang sesat seperti Syiah, Khawarij dan sebagainya.
Terbilang
Kerana sifatnya yang terbilang itulah Said Ibrahim dihargai dan diberikan pengiktirafan. Said yang hanya lulus daripada pondok pengajian di Jambi dan kemudian ke Mekah dianugerahkan sarjana kehormat Universiti Kebangsaan Malaysia, sesuatu yang tidak pernah diimpikannya. Pada hujung perjalanan hidupnya beliau berdiri dengan rendah diri di hadapan para sarjana dan cendekiawan pengajian Islam dan pakar pelbagai bidang ilmu yang lain. Pada 1991 Said Ibrahim dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan.
Selain rumahnya yang sebuah di Gombak, Said Ibrahim tidak meninggalkan harta benda dan kekayaan dunia. Beliau meninggalkan anak-anaknya yang soleh. Sedekah jariahnya yang kita ketahui adalah dalam bentuk bukunya yang dirompak lanun penerbitan. Karyanya disalin dan diulang cetak. Haji Said menghalalkan semua itu demi ilmu dan amalnya. Ilmunya juga banyak sudah ditaburkan selama beliau hidup dan kebanyakannya ditulis dan diterbitkan. Itulah harta peninggalannya yang paling berharga. Said Ibrahim berharap ilmu yang ditinggalkannya itu akan dimanfaatkan oleh umat Islam dan generasi akan datang selepas putus hubungannya dengan dunia yang serba fana ini.
Kembali ke Rahmatullah
Buku Said Ibrahim Mufti Tegas dan Terbilang
Buku karya Roosfa Hashim, pensyarah di pusat pengajian umum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Terbitan Pustaka Yamien, cetakan pertama tahun 2009. Memuatkan sedikit sebanyak biografi Mufti Haji Said Ibrahim, ulama yang gigih berdakwah dan menyebarkan ilmu. Sesekali elok juga kita membaca mengenai tokoh - tokoh ulama kita, agar nama dan jasa mereka kita ketahui. Jasa dan pengorbanan para ulama kita, hendaknya jangan dilupakan. Jangan hanya kagum dengan pemimpin duniawi dan meninggalkan penyuluh ke jalan Ilahi. Antara petikan yang dimuatkan dalam buku tersebut adalah kata-kata Ustaz Datuk Haji Ismail Kamus seperti berikut:
"Banyak jasa beliau kepada negara ini. Haji Said juga seorang ulama yang berani, tegas dan berpendirian. Beliau sangat disenangi oleh kawan dan rakan. Seorang yang sangat mengambil berat kepada semua anak didiknya. Beliau tidak pernah jemu menulis dan berdakwah sehingga ke akhir hayat beliau."