Ibnu Jauzi ialah seorang ulama yang alim dalam ilmu hadis, sejarah, tafsir dan fiqah. Beliau dilahirkan pada tahun 1114 M di Baghdad. Beliau banyak menulis kitab-kitab lebih kurang seribu kitab, antaranya berbentuk kitab dan ada yang berbentuk risalah
Perjalanan Hidupnya dan Pribadinya
Ibnu Jauzi mulai menuntut ilmu sejak kecil. Bahkan, beliau sudah mulai memberikan ceramah dan nasihat sejak berumur 10 tahun. Beliau telah sampai pada suatu kedudukan yang tidak ada orang seperti beliau sebelum dan sesudahnya.
Waktu beliau dihabiskan untuk menuntut ilmu, menghafal dan menekuni bidang agama, menulis kitab, mengajar dan memberi nasihat dan fatwa kepada orang lain. Sehingga beliau menjadi ulama yang termasyhur dan tokoh masyarakat pada zamannya kerana kefasihan, kemahiran dan ketinggian ilmunya.
Ibnu Jauzi mengatakan kepada puteranya dalam sebuah surat yang sangat menyentuh perasaan dan hati dalam nasihat seorang ayah kepada puteranya yang menceritakan perjalanan awal dari hidupnya serta permulaan keadaannya:
“Ketahuilah wahai puteraku bahawasanya ayahku ialah seorang yang kaya raya dan beliau mewariskan beribu-ribu harta. Ketika aku berusia baligh, diberikan kepadaku 20 dinar serta dua buah rumah dan mereka berkata kepadaku, “Inilah warisanmu seluruhnya.” Kemudian, aku mengambil dinar tersebut dan kubelikan beberapa kitab. Aku menjual kedua rumah tersebut untuk biaya menuntut ilmu. Tidak ada lagi padaku sisanya.
Ayahmu tidak pernah merasa merendah diri dalam menuntut ilmu. Tidak pernah keluar berpindah-pindah dari satu negeri ke negeri yang lain kerana kesibukannya memberikan nasihat dan tidak pernah mengutus seorang budak untuk meminta sesuatu kepada siapa pun, urusannya tetap berjalan dengan baik.
Oleh kerana itu, bersungguh-sungguhlah wahai puteraku dalam menjaga martabatmu untuk mencari dunia dan merendahkan diri di hadapan penghuninya. Qanaalah kamu, nescaya akan berwibawa. Ada yang berkata, “Barangsiapa yang merasa cukup dengan sepotong roti dan kubis, tidak akan ada yang memperbudaknya.”
Sungguh aku suatu pagi tidak punya makanan apa pun. Petang harinya juga tidak ada. Allah tidak merendahkan diriku di hadapan seorang makhluk pun, akan tetapi Dia mengatur rezekiku untuk menjaga martabatku. Kalaulah aku menerangkan keadaanku, akan panjang dan inilah keadaanku sekarang seperti yang kau saksikan.”
Imam Az-Zahabi berkata tentangnya: “Tidak berlebihan kalau kita mengatakan bahawa diia ialah orang terdepan dalam memberikan nasihat. Dia boleh mengungkapkan syair yang indah dan pepatah yang memukau secara spontan. Dia boleh menarik, membuat kagum, membuat sangat senang dan membuat orang yang mendengarkannya merasa tersanjung yang tidak pernah dibuar seseorang sebelum atau sesudahnya. Dialah pembawa panji baik dengan segala kepiawaiannya, paras nan elok, suara yang indah menikam jiwa, sifat yang baik.
Dia ialah lautan dalam bidang tafsir, ulama dalam bidang sejarah, disebut-sebut sebagai orang yang paling pandai dalam bidang hadis, fakih, berilmu dengan ijma’ dan perbezaan pendapat para ulama, punya kelebihan dalam bidang kedoktoran, menguasai beberapa bidang ilmu, faham, cerdas dan hafal. Dia bersungguh-sungguh dalam mengumpulkan dan menulis dengan tatabahasa yang sangat memukau dan menarik.
Berwatak mulia dan sifat yang terpuji serta sangat dipandang baik di kalangan khusus ataupun awam. Aku tidak menemukan karangan seperti karangannya. Ayahnya meninggal dunia saat dia berumur 3 tahun, lalu didik oleh datuknya. Karib kerabatnya banyak berdagang tembaga. Kadangkala dia menyebutkan namanya dalam belajar, Abdurrahman bin Ali Ash-Shaffar. Lalu, di masa kanak-kanak, datuknya membawanya kepada Ibnu Nashir, dia banyak belajar kepadanya.
Kemudian, dia mulai suka memberi nasihat dan berkecimpung di dalamnya. Dia mulai memberi nasihat sejak kecil. Kemudian, dia berkecimpung lebih jauh dalam bidang itu hingga dia terkenal sampai dia wafat. Semoga Allah SWT merahmati dan memaafkannya sekiranya dia tidak menggeluti rakwil dan tidak pula menyelisihi imamnya.”
Karya-karyanya
Di antara karya-karya beliau ialah:
1. Talbis Iblis, karya beliau yang terkenal dan sangat bermanfaat.
2. al-Adhkiya'
3. Afat al-Muhaddithin
4. Akhbar al-Akhyar
5. al-Manasik
6. Dan lain-lain.
Wafatnya
Ibnu Jauzi wafat pada tahun 1201 M dalam usia 87 tahun.
“Aku melihat menyibukkan diri dengan fiqah dan dengan mendengar hadis tidak cukup untuk merawat hati melainkan ilmu itu digabungkan dengan perkara-perkara yang melembutkan hati dan membaca cerita sejarah orang soleh.
Adapun mengetahui perkara halal dan haram bukanlah satu peranan yang besar di dalam melembutkan hati. Sesungguhnya yang melembutkan hati ialah dengan menyebut cerita-cerita yang menyentuh hati dan cerita-cerita orang soleh kerana mereka ialah golongan memahami maksud daripada hadis-hadis yang dinukil. Mereka keluar daripada zahir cerita kepada aspek rohani dan sentimen cerita-cerita tersebut.
Tidaklah aku ceritakan perkara ini melainkan untuk merawat dan mengubat kerana aku melihat pelajar-pelajar yang belajar hadis, minat mereka hanya pada mendapat sanad hadis yang tinggi dan minat fuqaha ialah untuk memperhebatkan pendebatan mereka.”
(Ibnu Jauzi)
Dipetik dari Lembaran Hidup Ulama' (2009)