Kemuliaan Jenazah Para Ulama

Jenazah Imam Ahmad bin Hanbal

Pada hari wafatnya Imam Ahmad bin Hanbal, tak sedikit mereka yang turut menghantar jenazah beliau sampai beratusan ribu orang. Ada yang mengatakan 700 ribu orang, ada pula yang mengatakan 800 ribu orang, bahkan ada yang mengatakan sampai satu juta lebih orang yang menghadirinya.

Semuanya menunjukkan bahawa sangat banyaknya mereka yang hadir pada saat itu demi menujukkan penghormatan dan kecintaan mereka kepada beliau. Beliau pernah berkata ketika masih sihat, "Katakan kepada ahlu bid'ah bahawa perbezaan antara kami dan kalian adalah (tampak pada) hari kematian kami."


Jenazah Imam Bukhari

Ghalib bin Jibril berkata: “Kami telah menunaikan pesanannya (Imam Bukhari), sudah mengafaninya, kemudian menyolatkannya, barulah kami memasukkannya ke dalam liang lahad. Sejurus itu terdapat bau yang amat wangi seperti ‘Misk’ terbesar dari tanah perkuburannya dan ia berterusan beberapa hari.”

Jenazah Tok Kenali

Di tengah-tengah suasana yang sepi, berduyun-duyun manusia yang berwajah sebam, hampir semuanya berkopiah, berserban dan bersongkok telah memasuki saf untuk mensolatkan jenazah Tok Kenali. Mereka kelihatan penuh khusyuk dan insaf.

Bersaf-saf orang mengangkat takbir, susul-menyusul. Alim ulama, guru-guru dan murid serta orang kampong tua-muda datang bersolat tanpa meminta upah dan habuan, demi untuk kebahagiaan roh Tok Kenali buat selama-lamanya. Orang-orang besar dan berpangkat dari ibukota, tidak juga ketinggalan.

Hari wafatnya dilawati oleh tidak kurang daripada 2,500 orang dan jenazahnya disolatkan lebih 1,000 orang yang ikhlas kepada Allah.

Tok Kenali wafat pada 19 November 1933 M

Jenazah Badiuzzaman Said Nursi

Pertama kali berita duka wafatnya Badiuzzaman Said Nursi, tersebar di Urfah dan tidak lama kemudian masyarakat kota ini tampak berhimpun di sekitar hotel. Kemudian berita ini tersebar di bandar-bandar Turki yang lain. Masyarakat luas dari luar Urfah berdatangan sehingga kota ini seketika menjadi lautan manusia yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada pahlawannya.

Jenazah Said Nursi dipikul para murid dan orang-orang yang mencintainya dengan diiringkan oleh puluhan ribu penghantar jenazah dan dengan disertai hujan yang turun rintik-rintik untuk dikebumikan di pemakaman Ulu Jami.

Said Nursi wafat pada 23 Mac 1960.

Jenazah Syeikh Mutawalli Sya'rawi

Umat Islam ketika itu terkejut dan tersentak apabila seorang Imam yang memperjuangkan Islam sehingga digelar sebagai "Lampu Kebenaran" telah wafat ketika berumur 87 tahun. Iaitu Syeikh Mutawalli Sya'rawi.

Jenazah beliau telah dikebumikan di kampungnya iaitu Doqdus berdasarkan wasiat beliau sendiri. Jenazahnya telah dibawa oleh anak-anak muridnya, penduduk kampung serta semua pencinta beliau. Hampir sejuta orang telah menghadiri pengkebumian beliau.

Syeikh Sya'rawi wafat pada 17 Jun 1998.

Jenazah Syeikh Abdul Aziz bin Baz


Pada hari wafatnya Syeikh Abdul Aziz bin Baz, seramai 50,000 orang telah menghadiri upacara pengkebumian beliau. Semoga Allah SWT merahmati beliau. Amin.


Syeikh Abdul Aziz wafat pada 13 Mei 1999.

Jenazah Syeikh Al-Albani

Sesaat setelah wafatnya Syeikh Al-Albani, jenazah beliau dipersiapkan untuk segera dimakamkan sesuai dengan amanatnya dalam surat wasiat yang telah ditulisnya sejak sepuluh tahun sebelum wafatnya.

Selepas solat isyak pada malam itu juga, jenazah beliau disolatkan oleh kurang lima ribu orang, diimami oleh Syeikh Muhammad Ibrahim Syuqrah kemudian dengan berjalan kaki, mereka membawa jenazahnya untuk dimakamkan di pemakaman terdekat.

Syeikh Al-Albani wafat pada 2 Oktober 1999.

Jenazah Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin


Pada hari wafatnya Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, seramai 500,000 orang telah menghadiri upacara pengkebumian beliau. Semoga Allah SWT merahmati beliau. Amin.


Syeikh Muhammad wafat pada 10 Januari 2001.

Jenazah Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki


Pada hari wafatnya Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki, hampir 300,000 manusia membanjiri upacara pengebumiannya. Semua orang menangis dan sangat bersedih. Ia merupakan satu situasi yang tidak dapat dilupakan. Allahu Akbar.


Terdapat sekurang-kurangnya 500 orang tentera diperintah oleh kerajaan Arab Saudi di perkuburan Ma’ala untuk mengawal ribuan orang yang menangisinya. Kerabat diraja juga turut hadir. Para manusia menempikkan Kalimah dengan kuat sepanjang uapcara pengebumian beliau, memenuhi Makkah dari Masjidil Haram sehingga ke tanah perkuburan.

Sayyid Muhammad wafat pada 29 Oktober 2004.

M.A.Uswah,
5 Januari 2010,
Sandakan.

Dikemaskini semula dari:
Lembaran Hidup Ulama' karyaku dan tambahan lainnya.